Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Kecam Tindakan Tidak Perikemanusiaan Israel

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa yang berlaku baru-baru ini.

Situasi itu telah mencederakan ratusan umat Islam yang sedang beribadah ketika itu.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham turut menggesa semua pihak termasuk institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa untuk mengecam Israel dan bersolidariti bersama rakyat Palestin.

“Pertempuran berlaku berikutan bantahan penduduk Palestin terhadap perpindahan secara paksa beberapa buah keluarga dari Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

“Apa yang terjadi di Sheikh Jarrah bukanlah kali yang pertama.

“Pihak Israel sejak sekian lama telah mengambil pelbagai tindakan untuk mengusir penduduk Palestin bagi meluaskan jajahan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tanah Merah itu juga berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengambil tindakan tegas terhadap tindakan yang dilakukan Israel ini.

“Kerana apa yang dilakukan adalah jelas telah melanggari Undang-undang Hak Asasi Manusia Sejagat atau UDHR 1948 serta telah mencabuli ketetapan resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.