Penyokong dan Kepimpinan Bawa Signifikan Kepada Aura Keutuhan UMNO – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – UMNO mempunyai auranya tersendiri dalam menarik perhatian rakyat sama ada parti keramat ini berada dalam kerajaan mahupun pembangkang, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Jelas beliau ini kerana UMNO mempunyai core marketnya yang tersendiri yang menjadi tonggak kepada kekuatan parti.

“Kita ada core market yang jauh lebih besar daripada mana-mana parti, media tahu perkara ini malah orang yang tak suka kita pun tahu perkara ini.

“Bahawasanya bila UMNO gerak ke kiri atau ke kanan dia membawa bersamanya satu kelompok yang mampu menjadi penentu kepada imaginasi rakyat dan juga pola pengundi. Pengamal politik serta pemerhati politik sedar dengan perkara itu.

“Kita bukan mendabik dada hendak bercakap sampai bila-bila pun kita ada market ini tetapi setakat ini alhamdulillah kita masih ada market ini, selain membawa akar umbi dan juga pengundi serta penyokong tegar yang merupakan asas kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas 75 Tahun UMNO yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Tambah Shahril lagi, barisan kepimpinan UMNO sama ada di peringkat pusat mahupun kepimpinan akar umbi juga memainkan peranan penting.

Katanya kepimpinan ini juga secara jelas membawa naratif kepada nilai perjuangan parti yang didokong selama ini untuk membela nasib rakyat.

“UMNO juga selalu dilihat selalu dijadikan cerita serta dilapor barangkali disebabkan figura di dalam UMNO.

“Pemimpin di dalam UMNO ini bukan seorang atau dua orang tetapi ada pelbagai lapisan dan juga generasi.

“Jadi suara yang kita harapkan suara yang ada pelbagai dalam masyarakat tetapi juga lazimnya dicerminkan dalam kenyataan-kenyataan kepimpinan UMNO,” jelas Shahril.

Menurut beliau lagi keadaan ini tidak ada pada mana-mana parti yang secara jelas tidak berupaya untuk membawa aura sebegini di dalam parti mereka.

“Berbeza dengan parti-parti lain terutamanya Bersatu yang mana kita boleh cakap dia tidak ramai figura selain yang nombor satu.

“Kita ini daripada presiden, timbalan presiden sampailah ke exco sayap pusat kadang-kadang ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian, ketua puteri bahagian pun ada sahaja perkara yang hendak diperkatakan.

“Sebab apa? Sebab macam-macam pendedahan, generasi, cita rasa dan perspektif… itulah UMNO,” tegasnya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib