Malaysia Berada Di Fasa Kritikal COVID-19, Laksanakan ‘Lockdown’ Kekang Penularan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan kerajaan perlu melaksanakan lockdown bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang ketika ini mencatatkan angka yang semakin membimbangkan.

Katanya, ini kerana protokol kesihatan kini tidak lagi berkesan disebabkan rakyat telah mula menunjukkan sindrom keletihan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti lockdown walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data.

“Ini kerana membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini.

“Rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan hari raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata proses vaksinasi yang dilakukan juga perlahan malah kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum.

“Petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menanggani wabak ini.

“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan juga mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi applikasi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi medium penting bagi rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat bagi menjaga keselamatan diri mereka.

“Keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR. Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif COVID-19 proximity notification.

“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google. Dalam kes sporadik, individu positif tidak mengetahui sumber atau tempat di mana mereka mendapat jangkitan.

“Jika digunakan selari dan bersama keupayaan sedia ada MySejahtera, ia menjadi jawapan kepada permasalahan ini namun walau apa jua usaha dan teknologi, akhirnya membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.