Jika Dikompaun Duit Melayang… Jangan Ingkar Arahan Rentas Negeri – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia agar mematuhi aturan yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya, rakyat jangan terlalu mengikut perasaan terutama sekali apabila tidak dapat pulang ke kampung meraikan hari raya Aidilfitri bersama ibu bapa dan saudara-mara.

“Saya terima gambar tersebut dari Whatsapp, terperanjat dengan apa yang saya lihat, adakah benar dan saya sendiri tidak tahu kemanakah destinasi dan tujuan mereka.

“Saya menyeru kepada sahabat handai rakan taulan dalam alam maya ini. Janganlah ingkar dan patuhilah apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Jangan terlalu diikutkan kehendak hati dan perasaan yang membuak-buak untuk pulang ke kampung untuk beraya. Jika dikompaun duit akan melayang. Jika membawa wabak penyakit nyawa dikhuatiri melayang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, pada ketika ini nilai kesabaran sangat penting kerana pada ketika ini negara melalui ujian yang tidak pernah disangka-sangka berlaku terutama apabila melibatkan penularan wabak yang mengancam nyawa ini.

“Ingatlah dan sabar, insya-Allah saya amat memahami apa yang saudara saudari semua rasakan. Bersabarlah dan perbanyakkan berdoa semoga wabak COVID-19 ini berlalu pergi daripada negara kita.

“Kita semua mesti kuat dan tabah menempuhinya bersama-sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga berharap umat Islam dapat memanfaatkan peluang berada di 10 malam terakhir Ramadan dengan mendoakan negara ini makmur dan diberkati Allah.

“Dalam meniti akhir Ramadan ini, ayuh kita pertingkatkan amalan dan kita panjatkan doa bersama-sama kehadrat Allah untuk agama, bangsa dan negara yang kita cintai ini, sentiasa dilindungi, dipelihara, dijaga, diselamatkan dari segala perkara-perkara yang tidak baik.

“Bersyukurlah kepada Allah sekurang-kurangnya kita masih diberikan kesempatan untuk tambah amal, ibadah dan doa kita, bersyukurlah kita masih diberikan peluang untuk dapat beraya bersama keluarga, walaupun dalam suasana yang berbeza,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.