Ulang Tahun Ke-75 UMNO Jadi Iltizam Baharu Depani Cabaran Mendatang – Saarani

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berpandangan 75 tahun usia perjuangan UMNO bukan sahaja harus disambut dengan penuh kesyukuran tetapi pada waktu sama dengan iltizam baharu.

Ini kerana jelas beliau semua pihak di dalam parti harus juga memikirkan ke depan dan berterusan untuk 75 tahun akan datang.

“Dengan bentuk segala cabaran baharu, dengan segala bentuk perjuangan baharu, dengan pola pemikiran baharu dan kita sebagai parti yang dominan serta matang sudah tentu kita dapat menyesuaikan diri dengan segala bentuk perubahan kehidupan manusia 75 tahun akan datang, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-75 pada 11 Mei depan dan ianya juga adalah sambutan Jubli Intan.

Jelas Saarani, kalau diambil kira usia seorang manusia, 75 tahun itu adalah usia yang sangat matang dan usia perjalanan hidup selama 75 tahun sudah tentu sudah biasa melalui liku-liku kehidupan, sudah biasa dengan segala pancaroba hidup dan sudah biasa dengan segala cabaran.

Sehubungan itu jelas beliau lagi, dalam usia 75 tahun ini, pihaknya yakin UMNO dan ahli-ahlinya akan mempunyai kekuatan yang berterusan kerana parti yang lama dan terulung di Malaysia ini adalah UMNO dan sudah tentu parti ini akan dapat memberi contoh serta tauladan yang baik kepada rakyat Malaysia.

“UMNO akan menjadi satu bahan sejarah yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu kerana telah membuktikan bahawa seawal penubuhannya sehingga ke usia 75 tahun ini, UMNO adalah parti yang tidak pernah luntur semangatnya, UMNO adalah parti yang sentiasa konsisten dalam perjuangannya,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.