Sudah Dijangka… IHH Berhad Mahu Dijual Sepenuhnya?

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah jangka syarikat Jepun bakal membeli keseluruhan IHH Berhad dari Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Ujar bekas Menteri Kewangan itu, IHH Berhad dibina semasa beliau menjadi perdana menteri dan pengerusi Khazanah.

“Kita mula dengan membeli balik rangkaian hospital Pantai yang dijual anak PM4 kepada Singapura. Dan kita terus bina sehingga menjadi syarikat bertaraf ‘world-class’.

“Syarikat rangkaian hospital swasta kedua besar dalam dunia dengan 65,000 pekerja, 80 buah hospital di 10 buah negara termasuk Singapura, Malaysia, India, Turkey, Hong Kong dan China.

“Menjadi syarikat bernilai RM50 bilion. Negara untung berpuluh bilion Ringgit (Malaysia),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tetapi bidas Najib, pada akhir tahun 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Menteri Ekonomi Pakatan Harapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjual pegangan 16% saham IHH Berhad kepada syarikat Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion.

“Dengan itu, syarikat Jepun menjadi pemilik saham terbesar dalam IHH Berhad dengan kepentingan saham sebanyak 33%. Mereka jadi boss manakala Khazanah tinggal kepentingan saham sebanyak 26% sahaja.

“Kini, Mitsui sedang membuat tawaran untuk membeli keseluruhan syarikat IHH Berhad. Tawaran sudah dibuat kepada Khazanah untuk membeli baki saham yang dimiliknya.

“Jika tawaran diterima oleh menteri kanan paling kanan Perikatan Nasional (PN) (yang juga menteri ekonomi PH yang jual IHH pada tahun 2018) dan pengerusi Khazanah baru iaitu PM8 maka Khazanah akan dapat durian runtuh bernilai sebanyak RM13 bilion lagi. Iaitu RM21.4 bilion secara keseluruhan sejak PRU-14,” ujarnya.

Malangnya ujar Najib, syarikat bertaraf dunia itu yang dahulunya milik Malaysia akan menjadi syarikat milik Jepun sepenuhnya.

“Apakah susahnya untuk Khazanah di bawah kerajaaan PN untuk jual IHH Berhad dalam masa Darurat ini?

“Sedangkan Khazanah baru sahaja jual Silterra. Jual lagi saham-saham Telekom Malaysia bernilai RM312 juta. Sedang pertimbang jual Airport Subang. Setelah menjual saham RM1 bilion dalam Tenaga Nasional tahun lepas.

“Mungkin ini yang Raykat mahu,” sinisnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.