Semak Dan Imbang Di Parlimen Satu Keperluan… Ahmad Maslan Rindu Berbahas

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan secara sinis memaparkan bangunan Parlimen daripada pejabatnya Tingkat 38, di Menara Dato’ Onn di sini yang merupakan Pejabat Setiausaha Agung UMNO dengan menyatakan kerinduannya berbahas di dalam Dewan Rakyat.

Jelas beliau Dewan Rakyat merupakan tempat semak dan imbang ianya adalah satu keperluan dalam demokrasi berparlimen.

“Bangunan Parlimen boleh dilihat dari pejabat saya di Menara Dato’ Onn, PWTC, Kuala Lumpur… Rindu berbahas di Dewan Rakyat sudah di tahap yang tinggi.

“Semak dan imbang perlu dalam berparlimen. Tanpa sidang, demokrasi ‘dimandulkan’. Bukalah segera Parlimen,” ciapnya di Twitter.

Tambahnya lagi sebagai semak dan imbang, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mestilah dibuka untuk kepentingan bersama.

“Demokrasi berparlimen ialah pemerintahan oleh rakyat… kuasa rakyat yang melalui pilihan raya memilih wakil rakyat yang bersidang di Dewan Rakyat di Parlimen.

“Demokrasi tidak berfungsi dan mati, apabila sidang dihentikan. Dewan Undangan Negeri juga mesti bersidang walau dalam darurat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.