Kerajaan Dirayu Lanjutkan Tempoh Berniaga Dari Jam 10 Malam Ke 12 Tengah Malam – Shahanim

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani Datuk Shahanim Mohamad Yusoff merayu agar kerajaan melanjutkan tempoh perniagaan di bazar Aidilfiti dari jam 10 malam ke 12 tengah malam.

Beliau memahami kerajaan sayang rakyat serta nyawa rakyat namun kerajaan harus faham keperluan dan masalah rakyat.

“Tingal lima hari lagi nak puasa. Peniaga-peniaga minta mohon bagi peluang untuk mereka berniaga sampai jam 12 tengah malam. Kepada peniaga-peniaga uptown bertabahlah dan kuat semangat. Uptown hanya boleh buka 7.30 petang sampai 10 malam. Bayangkan 2 jam 30 minit sahaja. Apa yang mampu mereka buat. Ada yang call wsup (WhatsApp) mengadu.

“Ada yang semalam hanya dapat RM10…RM15. Tambahan sekarang ni hujan tiap-tiap petang. Kasihanilah peniaga-peniaga Melayu Islam kita. Kerajaaan bertunjangkan Melayu Islam. Mohon prihatin dalam masa lima hari saja lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Luahan Shahanim itu dinukilkan setelah beliau mendapat panggilan dan mesej dari peniaga-peniaga yang mengadu nasib kepadanya dan juga hasil kunjungannya ke bazaar-bazar di sekitar kawasan Sungai Petani malam tadi.

Ujanya lagi, sedikit keprihatinan kerajaan mampu mengembirakan hati ramai rakyat yang terkesan.

“Sekarang masjid telah dibuka. Ramai solat terawih dan balik 10.30 malam dan ada jemaah balik 11 malam. Namun…10 malam semua gerai dah tutup.

“Moga esok (hari ini) akan ada satu keputusan gembira dari kerajaan. Sungguh saya amat tak paham beza dua jam iaitu bazar ditutup jam 10 malam dan jam 12 tengah malam apa beza.

“Ada yang kata virus COVID-19 keluar aktif selepas jam 10 malam. Wallahua’lam,” katanya lagi.

Justeru, Shahanim memohon jasa baik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membantu para peniaga.

“Kerajaan yang prihatin adalah kerajaan membantu rakyat saat rakyat susah. Bantulah orang-orang kita. Bantulah peniaga-peniaga Islam kita.

“10 malam tepat penguatkuasa Rela dah tunggu di bazar. Yang mana beratur disuruh balik. Allahu Akbar. Apalah nasib bangsaku di bumi sendiri.

“Mood amat marah….dan sakit hati. Kesian sangat-sangat. Saya bukan nak cari glamour. Saya bukan nak cari nama. Saya bukan nak publisiti. Saya boleh dok (duduk) rumah diam-diam bersama anak cucu dan abaikan segala wsup dan call peniaga-peniaga. Namun saya menjiwai kehidupan keperitan kesusahan peniaga,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.