Kematangan UMNO 75 Tahun, Kekal Berjuang Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Ab Hamid

MARAN, 6 Mei – Seiring dengan kematangan UMNO yang mencecah usia 75 tahun pada 11 Mei ini, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar mengharapkan rakyat menyedari bahawa parti ini telah banyak berjuang untuk orang Melayu di samping tidak meminggirkan bangsa lain.

Katanya, sejak seawal kemerdekaan sehingga pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun, ianya membuktikan kemampuan parti ini sememangnya tidak dapat ditandingi.

“Dan kita bangkit dengan satu formula baharu yang mana perlu kita ingat bahawa UMNO ini ditubuhkan untuk menuntut kemerdekaan dengan melibatkan kebersamaan semua kaum termasuk Melayu, Cina India dan seluruh warganegara Tanah Melayu ketika itu.

“Tentunya kali ini kita sambut ulang tahun UMNO dengan mengharapkan supaya ada satu kebangkitan semangat,” katanya ketika ditemui pada pertemuan bersama ahli parti baru-baru ini.

Sempena sambutan hari raya Aidilfitri pula, beliau turut sama mengajak ahli parti untuk sama-sama merenung kembali asas perjuangan parti.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini hendak mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua, semoga kita terus muhasabah diri dan terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Kita perlu benar-benar memahami dan kita mesti benar-benar menginsafi sekiranya ada sebarang kesilapan yang telah kita buat sebelum ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.