Jatuh Bangun Selama 75 Tahun… UMNO Kekal Berjasa, Terus Berkhidmat Kepada Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Sepanjang penubuhan selama 75 tahun UMNO, parti ini telah melalui tempoh yang sangat panjang demi perjuangan kemakmuran negara dan rakyat, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Namun katanya, di sebalik zaman kegemilangan parti keramat ini, UMNO tidak dapat lari daripada melalui fasa-fasa cabaran dalam arena politik negara.

“Alhamdulillah kita sampai ke-75 tahun satu perjalanan yang cukup panjang daripada Datuk Onn Jaafar kemudian Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan sekarang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi… itu adalah presiden-presiden UMNO.

“Apa yang kita lalui ini adalah hasil dari zaman pemerintahan yang cukup panjang iaitu 63 tahun pemerintahan yang banyak berjasa, tidak kurang jatuh bangun perjuangan itu terutama pada 9 Mei 2018 apabila kita tidak lagi memerintah.

“Kemudian pada 1 Mac 2020 kita jadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ’75 Tahun UMNO: UMNO Terus Ke Hadapan’ sempena sambutan Jubli Intan UMNO yang bersiaran langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ahli Parlimen Pontian itu turut mengulangi ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung 2020 yang menyatakan bahawa parti keramat ini dibentuk untuk memimpin negara ini seperti yang dilakukan pada enam dekad yang lalu.

“Apa yang disebut oleh presiden adalah UMNO itu perlu memimpin dan bukan dipimpin jadi jasa 75 tahun ini menunjukkan bahawa UMNO ini berjaya menjadi pemimpin dalam kerajaan dan dalam pemerintahan negara ini dengan baiknya.

“Mudah-mudahan pada masa akan datang UMNO akan terus menjadi pemimpin, kelihatan dalam tempoh tiga tahun ini kita menjadi pembangkang dan tidak juga menjadi pemimpin walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Jadi itu jatuh bangun perjuangan yang begitu panjang,” ujarnya.

Tambah Ahmad, fasa-fasa ini mematangkan UMNO namun jasa parti ini seawal merdeka juga tidak boleh dilupakan kerana Malaysia terbina dari titik perjuangan parti keramat ini.

“Banyak landmark pencapaian UMNO ini, antaranya parti yang berusaha dan membawa kepada merdekanya negara kita pada tahun 1957.

“Perjuangan dari 1946 menentang Malayan Union sehinggalah bagaimana hendak mengisi kemerdekaan dan meneruskannya dalam keadaan sebegini mencabar,” katanya.

Berbaki beberapa hari lagi UMNO akan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-75 iaitu pada 11 Mei. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib