Segerakan Siasatan Dakwaan Rasuah Dalam Amalan Lompat Parti Dakwaan Bekas KPN

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di seluruh negara telah membuat laporan polis terhadap pendedahan yang telah dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kegiatan budaya rasuah dalam amalan lompat parti dan campur tangan yang serius dalam insitusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tujuan politik.

Tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dakwaan-dakwaan yang didedahkan adalah amat serius kerana bukan sahaja dibuat oleh bekas kepimpinan tertinggi agensi keselamatan negara bahkan melibatkan aspek integriti kepimpinan kerajaan dan kedaulatan negara.

“Justeru Pemuda UMNO mahu kertas siasatan untuk segera dibuka dan keterlibatan agensi-agensi lain terutamanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyiasat dan memanggil bekas Ketua Polis Negara bagi menyelamatkan Negara daripada berterusan dipersepsikan dengan imej kebankrapan integriti sehingga menjejaskan keyakinan rakyat dan kepercayaan pelabur,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid dalam satu sidang media baru-baru ini telah memaklumkan mengenai kaitan rasuah dengan budaya lompat parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.