Pemimpin PH Sokong Aktivis Hina Institusi Raja Dan Semai Kebencian? Chew Sir Boon
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pengerusi Perhubungan Negeri MCA Terengganu Chew Sir Boon berkata Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun tidak memerlukan aktivis yang gemar menanam kebencian di antara sesama manusia.
Tegasnya, terlalu banyak insiden menghina institusi raja dan agama mahupun menyemai kebencian di kalangan masyarakat majmuk.
Chew memberi respon mengenai tindakan Fahmi Reza Mohd Zarin yang bukan sahaja sekadar menghina ahli politik malah dilihat semakin berani menghina institusi raja apabila membuat bahan ejekan atau ‘troll’ terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah, insan yang tiada kepentingan politik.
“Fahmi sewajarnya menggunakan kemahirannya dengan mencontohi kartunis Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid yang terkenal dengan karya ‘The Kampung Boy’.
“Nama Datuk Lat menjadi popular baik dalam mahupun luar negara kerana usaha gigihnya menggunakan kemahiran serta bakat yang ada dengan memupuk dan mempromosikan nilai-nilai murni, bukannya popular dengan budaya menyemai kebencian,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi parti MCA.
Sedia maklum katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan Fahmi pada 23 April lepas bagi membantu siasatan kes menghina baginda.
Ulasnya lagi, apabila aktivis lain serta ahli-ahli politik khususnya daripada pemimpin PH tampil untuk bersolidariti, media membuat liputan menyebabkan nama Fahmi kembali memenuhi laporan portal-portal berita serta tular di media sosial.
“Apabila pihak polis menyiasat mereka, giliran Fahmi pula menyatakan solidaritinya. Seolah-olah mahu menggambarkan mereka saling bersolidariti atas prinsip demokrasi dan kononnya ditindas oleh pihak berkuasa.
“Sedangkan pihak berkuasa jelas menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang negara. Fahmi Reza disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian,” katanya.
Begitu juga bidasnya, melihat kepada kesungguhan tindakan pemimpin PH seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, timbul satu persoalan.
“Adakah Fahmi Fadzil serta pemimpin PH menyokong dan bersetuju dengan perbuatan Fahmi Reza? – UMNO ONLINE