Jubli Intan UMNO…. Perkukuh Parti, Teruskan Khidmat Cemerlang Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad mengajak semua anggota UMNO agar terus memperkukuhkan parti yang telah sekian lama berada di dalam arus perdana politik tanah air.

Menurut beliau, perjuangan UMNO yang akan memasuki usianya ke-75 tahun pada 11 Mei nanti perlu dihayati dan masing-masing perlu komited dalam usaha memperkukuhkan lagi parti keramat berkenaan.

“Saya ingin mengajak semua anggota parti untuk kita kembali memperkukuhkan UMNO yang karamah ini dan kita mesti menghormati perjuangan parti ini. UMNO ditubuhkan di Istana Besar Johor dan bukannya ditubuhkan di tepi longkang, bawah pokok dan di jalanan tapi di istana… ada alim ulama, pak kiyai, para cendiakawan Melayu… bukan sebarangan tokoh yang menubuhkan UMNO.

“UMNO merupakan sebuah harta pusaka dan wajib kita menjaganya. Kita tengok apa yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) lakukan semenjak 60 tahun memerintah negara dari zaman Perikatan sehingga sebelum kita tumbang pada PRU ke-14, rakyat dibela dan dijaga, pembangunan negara dimajukan dan tidak terhitung banyaknya limpaha yang kita dapat. Itulah pesanan saya sempena Jubli Intan UMNO ke-75 tahun dan Salam Perjuangan,” katanya kepada UMNO – Online.

Sementara itu bagi ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman mengharapkan agar UMNO hari ini ini terus cemerlang dalam memberikan khidmat kepada rakyat biarpun dalam keadaan berbeza.

“Harapan kami di peringkat akar umbi ingin melihat UMNO itu terus segar, kekal, bertambah kukuh dan memberikan khidmat yang cemerlang kepada rakyat kerana UMNO ini mempunyai akar umbi yang cukup besar dan kuat.

“Saya berharap agar sambutan Jubli Intan yang ke-75, ini segala urusan UMNO dipermudahkan dan akan kembali menerajui kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti, insyaAllah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.