Rebut Pahala Penghujung Ramadan, Teruskan Beramal Dengan Al-Quran – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam diseru untuk terus beramal dengan mempraktikkan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Berkesempatan hadir pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Setiausaha Agung UMNO , Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ucapannya berkongsi amalan yang dapat dilakukan bagi memperolehi ganjaran pahala sempena bulan yang penuh dengan barakah ini.

“Al-Quran ini sudah tentunya kita perlu baca, tapi kalau tak sempat baca pun kita ambil dan cium Al-Quran itu kalau tak sempat kerana kesibukan agaknya dalam hari-hari berkaitan.

“Lepas baca kita perlu menghafal beberapa surah-surah yang tertentu terutamanya untuk kita baca ketika sembahyang, selepas itu memahami isi kandungan Al-Quran, lepas memahami kita perlu memperlajari Al-Quran.

“Serta amalkan kemudian sebarkan atau pun kita sampaikan kepada orang lain insya-Allah bersempena dengan bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato ‘ Onn, Pusat Dagangan Putra (WTC), sebentar tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut sama menceritakan pengalamannya dalam beramal dengan Al-Quran ketika menunaikan ibadah Haji.

“Pada tahun 2002 ketika pergi ke Mekah 44 hari itu apakah yang perlu dibuat selain daripada sembahyang di masjid sama ada di Mekah atau Madinah. Saya memutuskan pada 44 hari itu untuk membaca terjemahan Al-Quran sampai habis… ini pengalaman peribadi yang saya hendak kongsikan.

“Alhamdulillah habis semua, khatam membaca terjemahan Al-Quran kalau tidak kita tidak akan khatam sampai bila-bila.

“Jadi saya ingin mengesyorkan kepada saudara saudari seumur hidup ini cuba membaca terjemahan Al-Quran kita tidak tahu bahasa Arab, kita membaca terjemahan Al-Quran,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.