‘Lawak Rogol’ Tak Boleh Diterima Akal, Puteri UMNO Gesa KPM Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Apa yang berlaku akhir-akhir ini amat tidak boleh diterima akal, ‘lawak rogol’ di sebuah sekolah melibatkan guru dan pelajarnya tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ia melibatkan institusi pendidikan.

Soal Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan, adakah guru lelaki berkenaan sudah hilang akal apabila jadikan perkara jenayah seksual sebagai gurauan.

“Adakah itu ‘ilmu’ yang nak diturunkan kepada pelajar pelajar lelaki?

“Kami mendesak Kementerian Pendidikan ambil serius dan tindakan tegas susulan sikap seorang guru mereka yang tidak bermoral ini.

“’Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, jangan kerana seorang guru bersikap biadap ini, habis busuk nama keseluruhan warga pendidik,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, Pergerakan Puteri UMNO sentiasa memberikan sokongan dan ucapkan syabas kepada adik Ain Husniza Saiful Nizam kerana berani membangkitkan isu ini.

“Diharap ini adalah isu terakhir dan ia tidak menjadi kebiasaan dalam pemikiran masyarakat.

“Kami sokong Ain Husniza. Setiap wanita berhak untuk dihormati,” katanya lagi.

Sebagai rekod, pada hujung minggu baru-baru ini, pelajar sekolah yang berusia 17 tahun itu membuat pendedahan menerusi video di aplikasi TikTok dengan berkata seorang guru lelaki membuat jenaka berkenaan rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.