Asas Perjuangan UMNO Jadikan Parti kekal 75 Tahun Demi Agama, Bangsa, Negara – Rahman

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersyukur dan teruja apabila hayat perjuangan UMNO mencecah 75 tahun pada 11 Mei nanti.

Menurut beliau asas mahupun tunjang parti berkenaan yang cukup kukuh membolehkan UMNO melangkah dan berada pada usia yang cukup matang serta relevan sepanjang zaman.

“Saya amat gembira dan teruja sebab UMNO sampai ke usia yang ke-75 dan kita semua tahu bahawa UMNO bukannya parti yang calang-calang dan bukan parti biasa-biasa. Sejarah menunjukkan bahawa parti itu dilahirkan penuh air mata pengorbanan, dilahirkan di istana Melayu dan dilahirkan atas dasar satu semangat nasionalisme Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan dan sebagainya.

“Jadi asas penubuhan UMNO terlalu besar dan kuat. Sebab itu jika dibandingkan dengan parti yang lain, UMNO masih dapat bertapak di hati rakyat Malaysia terutama orang Melayu Bumiputera kerana asas penubuhannya itu sudah terlalu cantik.

“Apa yang kita lalui sekarang ini pada saya adalah kegagalan sementara dalam pilihan raya… dan UMNO akan kembali berjuang di dalam PRU akan datang untuk kelangsungan tujuan penubuhan pada tahun 1946 sehinggalah sekarang iaitu demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-75 pada 11 Mei ini dan ianya juga adalah sambutan Jubli Intan.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran seterusnya berpandangan mana-mana parti di dunia berdepan atau menghadapi cabaran tersendiri dan tidak ada satu parti politik yang tidak akan berdepan masalah atau kemelut.

“Semua parti-parti besar di dunia ini akan berdepan dengan masalah kemelut dalaman mereka sendiri. Parti Republican, Parti Demokrat, Parti Konservatif mana-mana sahaja parti dan begitu juga UMNO. Paling penting adalah apakah kita boleh dapat keluar daripada kemelut ini dan menyelesaikannya serta akan keluar menjadi sebuah parti yang lebih besar dan memahami.

“Saya percaya UMNO akan berbuat begitu kerana kita sudah ada asas dan apa pun yang berlaku hanya sebahagian ribut dalam cawan yang selalu dikatakan oleh sesetengah pihak.

“Pada saya UMNO akan sentiasa relevan dalam konteks politik Malaysia kerana tujuan dan DNA UMNO itu sendiri iaitu memperjuangkan Melayu dan kita bukan berdasarkan retorik sebaliknya berdasarkan fakta dan sejarah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.