Ahmad Zahid Minta Ahli Teruskan Istiqamah, Konsisten Dalam Perjuangan

PETALING JAYA, 4 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan harus istiqamah dan konsisten dalam apa-apa perkara yang dilakukan termasuklah politik.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ahli parti juga perlu beristiqamah dalam perjuangan parti dan terus bersatu padu supaya dapat menawan semula hati rakyat serta kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Selama 22 bulan kita jadi pembangkang dan setahun lebih menjadi sebahagian dari kerajaan adalah proses untuk menguji daya tahan kita,” katanya dalam ucapan ringkas ketika Majlis Iftar bersama UMNO Bahagian Petaling Jaya, semalam.

Ahmad Zahid juga percaya bahawa UMNO/BN akan kembali mendapat tempat di hati rakyat termasuklah di Selangor.

“Saya amat yakin BN dibawah kepimpinan Tan Sri Noh Omar iaitu orang yang berpengalaman maka saya percaya kita akan dapat ambil alih Selangor dengan syarat ‘political partners’ kita dengan PAS dan harus ikhlas .

“Kalau kita mengharapkan orang berbaik dengan kita tetapi kita tidak berbaik sebagaimana Allah berbaik dengan kita maka ia mustahil malah dalam perkongsian apa bentuk pun, bukan hanya bidang politik tetapi rumahtangga juga mestilah ikhlas.

“Partner harus jujur, partner harus ikhlas, partner harus berdiri di kedua-dua kaki di tapak yang sama jangan satu tapak kaki di sana dan satu lagi di sini, seorang tarik sana seorang tarik sini… takut-takut ‘terlocok’,” ujarnya.

Turut serta pada majlis Iftar berkenaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua-ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.