Ponteng Besar-besaran: Matlamat Tidak Menghalalkan Cara – UMNO Siswi

KUALA LUMPUR, 3 Mei – UMNO Siswi Malaysia menolak kempen ‘school walkout day’ atau kempen ponteng sekolah sebagai tanda protes terhadap isu seksual yang berlaku.

Kata Pengerusinya Nur Syareeza Abdullah, kempen tersebut rentetan pendedahan seorang pelajar berkenaan #LawakRogol di sebuah sekolah baru-baru ini telah mendapat perhatian umum terutamanya dalam kalangan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar sana.

Pertama, ujarnya UMNO Siswa tidak bersetuju akan kempen yang dilaksanakan ini kerana ianya bukanlah satu langkah positif atau perbuatan baik untuk dipupuk dalam kalangan murid sekolah.

“Ponteng sekolah tetap perkara yang salah waimah niat baik ingin menunjukkan protes terhadap isu seksual sekalipun. Daripada kempen #PontengSekolah ini dilaksanakan, adalah lebih baik jika kita mendesak kerajaan untuk mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kegiatan tidak bermoral ini!

“Kedua, kami merasakan kempen ini sedikit sebanyak mencemarkan institusi pendidikan kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat dan wadah murid hadir menimba ilmu, bukan tempat untuk kita menghasut pelajar untuk ‘ponteng’ sebagai tanda protes. Berbalik kepada perkara pertama, niat tidak menghalalkan cara.

“Isu rogol dan seksual bukan perkara yang boleh diambil ringan. Sekiranya tindakan tegas tidak diambil mulai sekarang, masalah moral ini akan terus berlaku pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, dalam mencari solusi dalam sesuatu permasalahan, banyak sudut pandang yang boleh diambil.

“Daripada mengajak pelajar untuk #PontengSekolah, adalah lebik baik sekiranya kita mewujudkan kempen khas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan penglibatan menyeluruh warga sekolah.

“Hal ini bukan sahaja menerapkan nilai moral dalam kalangan individu, malahan dapat memberi kesedaran akan isu seksual yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan masyarakat pada hari ini terutamanya golongan wanita,” katanya.

Justeru katanya, UMNO Siswi berharap, ibu bapa dan pelajar-pelajar di luar sana tidak terikut-ikut akan kempen #PontengSekolah ini dan mencari inisiatif lain dalam memastikan masyarakat cakna terhadap isu seksual yang berlaku terutamanya dalam institusi pendidikan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.