Jubli Intan UMNO: Tiru Kepimpinan Tokoh Terdahulu Bina Kesatuan Parti – Syed Ibrahim

MARAN, 3 Mei – Nilai kepimpinan tokoh-tokoh terdahulu sewajarnya dijadikan sebagai iltizam untuk dijadikan kayu ukur bagi meneruskan perjuangan parti, kata Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Jelas beliau ini kerana di sebalik kepimpinan mereka ianya menjadi bukti bahawa UMNO telah banyak berjasa kepada negara sehingga kesannya masih lagi dikecapi sehingga kini.
.
“Bila kita duduk dengan ahli-ahli UMNO yang sangat setia ini mengingatkan diri kita sendiri bahawa mereka ini sangat berharap kepada kepimpinan parti meniru cara orang tua kita terdahulu.

”Seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak yang berjaya membina satu kesatuan suara dan kesatuan upaya sehingga digeruni, disegani, dihormati tidak kira oleh lawan atau kawan sama ada orang dalam negara mahupun pihak luar.

“Ini adalah kerana kehebatan suara mereka dalam perjuangan membawa kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO -Online bersempena dengan Hari Ulang Tahun UMNO ke-75 pada 11 Mei depan.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau itu lagi penyatuan merupakan kunci utama buat parti di dalam meneruskan agenda perjuangan membela nasib rakyat.

“Tapi kita percaya untuk membela nasib agama, orang Melayu serta tanah air ini tidak dapat kita bina dengan hanya dengan adanya semangat.

“Tetapi kita mesti juga dengan ada kekuatan dan ada kepimpinan yang bersatu padu malah mesti mempunyai visi dan misi yang satu.

“Tak mustahil ada juga perselisihan atau perbezaan pendapat dalam beberapa perkara tapi kita tidak boleh menjadikan perselisihan itu membuatkan kita lemah dan hilang fokus kepada perjuangan parti kita,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, bersempena hari raya Aidilifitri ini juga beliau berharap agar sambutan hari yang berbahagia ini dapat memberikan nilai signifikannya yang tersendiri.

“Mudah-mudahan Aidilfitri kali ini memberikan kebaikan dan tuah kepada kita serta dijauhkan daripada wabak, diberikan kemakmuran dan kekuatan kepada kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.