Jubli Intan UMNO: Doakan Kesejahteraan Negara Hadapi Cabaran COVID-19 – Johan

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Menjelang ulang tahun UMNO ke-75 dan hari raya Aidilfitri yang tarikhnya amat dekat, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz memohon kepada rakyat agar sentiasa mendoakan kesejahteraan negara.

Katanya, terutama sekali dengan keadaan semasa negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Apa-apa pun sama-sama kita memanjatkan doa di bulan yang mulia ini, kita sama-sama berdoa supaya wabak COVID-19 ini hapus dan hilang di muka bumi ini.

“Kita doakan setiap hari kalau boleh di bulan Ramadan yang penuh dengan barakah ini, semoga di akhir Ramadan ini doa kita dimakbulkan oleh Allah,” katanya.

Johan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata meskipun sambutan ulang tahun UMNO dan hari raya tahun ini merupakan yang kedua disambut secara sederhana namun ianya perlu diraikan dengan penuh keinsafan.

“Yang utamanya pada 11 Mei ini kita akan menyambut ulang tahun UMNO yang ke-75 selepas itu, dua hari kemudiannya kita akan menyambut Aidilfitri, insya-Allah.

“Saya ingin menyucapkan selamat menyambut hari ulang tahun UMNO kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara.

“Selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin, raya kali ini mungkin agak berbeza daripada yang kita sambut secara kelaziman, kita tidak ketahui apa yang akan berlaku lagi selepas ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.