Jangan Putus Asa, Bersama Terus Lipat Ganda Usaha Lawan COVID-19

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua termasuk dirinya sendiri jangan sesekali berasa berputus asa dan mesti terus lipat gandakan usaha melawan pandemik COVID-19 sedaya upaya.

Beliau tahu rakyat kian kepenatan dan kebosanan, pernah berkorban banyak perkara serta majoriti rakyat telah berusaha sehabis baik mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama 18 Mac tahun lalu.

“Namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda pemulihan, malah keadaan tambah memburuk. Seperti anda, saya juga berasa kecewa apabila mengingati segala pengorbanan itu.

“Ada rakyat kehilangan pekerjaan, perniagaan merosot, anak-anak lama tidak bersekolah. Dalam keterpaksaan kita berharapkan penghasilan yang berbaloi pada ‘hari esok’.

“Namun realiti pada hari ini lebih 2,000/3,000 kes jangkitan sehari Covid-19 di Malaysia. Ordinan Darurat juga tampak tidak memberi impak dalam menangani penularan wabak,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau pula sebagai wakil rakyat berasa kesal tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab di Parlimen.

“Untuk menggembleng idea bersama Ahli Parlimen lain mencari jalan keluar buat rakyat dan negara.

“Walau apa pun kita belajar daripada kekurangan sebelum ini dan terus maju melawan pandemik.

“Kuatkan semangat. Terus berdoa memohon ke hadrat Ilahi agar terlepas marabahaya ini. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.