Dap Berjuang Dalam Mimpi Demi Kepalsuan Perjuangan? – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Sejarah menunjukkan bahawa Dap sering kali gagal menunjukkan bahawa perjuangan mereka tidak hanya terarah kepada kaum Cina sahaja, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau berkata demikian sebagai respon apabila Setiausaha Publisiti Wanita Dap Johor, Marina Ibrahim yang meluahkan hasratnya untuk membuka mata rakyat di negara ini bahawa Dap adalah terbuka kepada semua kaum.

“Pelbagai usaha pemimpin Melayu Dap lakukan namun kegagalan sering kali ditemukan, tidak perlu diungkapkan apakah sebabnya.

“Ramai yang kecewa apabila melihat pemilihan kepimpinan yang menjurus kepada satu kaum sahaja, pastinya bukan India dan Melayu.

“Untuk menutup mimpi yang dijual, kaum Melayu akan dilantik, kaum India juga dilantik. Dari 15 pemimpin negeri yang terpilih kemungkinan adalah seorang bernasib baik terpilih,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu lagi, di Malaysia memang ada parti yang jelas dasarnya memperjuangan bangsa tanpa ada keraguan malah ada juga parti yang jelas memilih pelbagai kaum demi menegakkan kepercayaan bahawa kepelbagaian itu jalan keluar membina Malaysia.

“Dalam memperjuangan satu-satu dasar, ianya tidak perlu berselindung disebalik dasar parti, tidak perlu menipu dalam semangat parti yang dibina.

“Sekian lama Dap berjuang dengan mimpi dan realiti, mimpi yang didambakan sering kali dijual kepada orang Melayu yang mahukan tempat malah mimpi ini telah menjadi kepercayaan mereka untuk meletakkan Dap sebagai parti pelbagai kaum, parti yang bukan rasis.

“UMNO, MIC, MCA, PAS dan Amanah ini semua parti yang percaya kepada perjuangan bangsa ini bukan rasis manakala Gerakan, PKR, Warisan ini pula parti yang percaya kepada perjuangan pelbagai kaum,” tegasnya.

Tambah Mohd Razlan keadaan ini berbeza dengan Dap yang sengaja meletakkan muka-muka Melayu dan India sekadar menutup sebuah perjuangan bangsa.

“Dap sehingga hari ini terus menerus menjual mimpi demi kepalsuan perjuangan.

“Kemahuan Marina juga akan gagal sebagaimana gagalnya tokoh-tokoh pemimpin Melayu yang sebelumnya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.