Dakwaan KPN Sahkan Agenda ‘Scheme of Things’ Sedang Berjalan – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Negara digemparkan dengan butiran Sidang Media oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador pada semalam yang banyak menceritakan perihal dalaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah menggunakan apa cara untuk mengekalkan kuasa.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor, dakwaan itu amat serius memandangkan ianya datang daripada mulut pemimpin tertinggi di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini secara tidak langsung menggugat fungsi sebenar PDRM sepatutnya menjaga keamanan negara, tetapi dengan dakwaan ini rakyat berasa tidak selamat dan negara akan berhadapan kucar-kacir.

“Pemuda UMNO Kelantan sependapat dengan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Malaysia agar siasatan segera dan serius daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dijalankan secara tuntas tanpa mengira pangkat dan darjat.

“SPRM boleh mulakan siasatan dengan Ahli Parlimen PKR yang lompat terlebih dahulu seperti Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar; Julau, Larry Sng Wei Shien; dan Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, beliau tidak mahu budaya lompat ini boleh mencemarkan nama baik kerajaan hari ini seolah-olah boleh menerima sesiapa sahaja yang bermasalah, asalkan mendapat sokongan balas dalam undian di Dewan Rakyat.

“Justeru itu, Pemuda UMNO Kelantan mendesak SPRM untuk bertindak sebaik mungkin di atas kemungkinan tiga faktor sogokan utama seperti: Pertama, kerana tidak tahan siasatan SPRM. Kedua, kerana tidak tahan tekanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ketiga, kerana adanya habuan tawaran jawatan dalam Kabinet ataupun pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” gesanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.