Bazar Ramadan Ditutup, Kerajaan Wajar Beri Bantuan Kepada Peniaga – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa simpati mendengar sebanyak 22 bazar Ramadan di enam negeri dan satu di Wilayah Persekutuan diarah tutup.

Katanya, beliau tidak pasti berapa jumlah peniaga bakal terjejas, namun sudah pasti ramai dengan jumlah bazar Ramadan sebanyak itu.

“Tapi apakan daya ini demi keselamatan orang ramai dan juga peniaga disebabkan kes jangkitan COVID-19. Cuma saya berharap selepas pengumuman tutup dibuat, kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak lepas tangan begitu sahaja.

“Saya syorkan bantuan kewangan atau apa sahaja yang sewajarnya jika ada peniaga yang memerlukan. Sebahagian mereka pasti telah mengeluarkan modal operasi untuk membeli stok dan sebagainya. Pendapatan harian juga telah tiada.

“Pasti payah jika mereka terpaksa menanggung kerugian besar terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin memburuk,” katanya menerusi satu catatan di Facebooknya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berharap prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan terus diperkemas dan pengunjung diminta memberikan kerjasama yang sebaiknya.

“Pastikan pelaksanaannya terutama dalam aspek penjarakan fizikal. Ada kira-kira seminggu lebih sebelum Ramadan berakhir. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut jika tidak berjaga-jaga.

“Pengunjung bazar Ramadan pula diminta peka kepada pematuhan SOP. Jangan terlalu berpusu-pusu. Beratur dan bersabar.Bukankah bulan Ramadan sepatutnya mendidik kita erti kesabaran.

“Jangan ambil hati jika ditegur petugas di bazar Ramadan supaya menjaga SOP. Kita bekerjasama menjaga diri kita,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.