Hampir 1/3 Kluster Baharu Libatkan Sekolah: Tak Siapa Dalam Kerajaan Yang Risau?

KUALA LUMPUR, 30 April – Tak ada siapa dalam kerajaan yang risau bahawa hampir satu pertiga kluster baru setiap hari melibatkan sekolah ke?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merujuk statistik dalam tempoh dua minggu lepas (16 Apr hingga 29 Apri), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah umum 139 kluster baharu di mana 43 kluster (31%) melibatkan sektor pendidikan.

“Bagi saya, risiko kluster pendidikan merebak ke masyarakat adalah lebih tinggi berbanding sektor-sektor kilang dan pembinaan di mana kebanyakan mereka yang berjangkit mungkin pekerja yang tinggal bersama.

“Kerumitan utama ialah secara umum murid-murid dan remaja kurang terkesan akibat COVID (COVID-19). Walaupun positif, kebanyakan mereka tidak ada gejala dan sukar dikesan telah berjangkit pada ketika mereka masih boleh menjangkit orang lain.

“Ertinya, murid-murid sendiri tak sedar mereka positif tetapi mereka akan menjangkit kawan-kawan, guru-guru dan orang dewasa di rumah dan seterusnya merebak ke komuniti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, apabila COVID-19 semakin menular ke masyarakat umum maka ianya akan jauh lebih sukar untuk KKM bendung.

“Orang dewasa serta guru-guru yang dijangkit pula akan lebih terkesan dan kemungkinan jatuh sakit.

“Risiko kesihatan pada orang dewasa dan orang tua yang dijangkit adalah lebih tinggi berbanding murid-murid sendiri,” luahnya.

Oleh kerana itu bekas Perdana Menteri itu berharap KKM akan menilai semula risiko bagi sektor pendidikan dan menambah baik apa yang perlu termasuk kemungkinan tukar prosedur operasi standard (SOP), mengurangkan jumlah hari persekolahan, mewajibkan murid-murid disaring setiap dua minggu seperti dibuat di beberapa negara atau tutup sekolah untuk beralih semula ke Pembelajaran dan Pengajaran Di Rumah (PdPR) selagi bilangan kluster baru pendidikan tinggi.

“Apapun keputusan, jika purata 31% daripada kluster baru yang dikesan setiap hari melibatkan sekolah maka ini adalah satu masalah serta risiko besar dan tidak patut dipandang ringan,” katanya.

Di dalam ruangan komennya, Najib turut membidas kenyataan seorang menteri yang menggesa rakyat tidak bimbang mengenai penularan COVID-19 di sekolah.

“Paling tak boleh tahan ialah ada menteri yang boleh suruh kita jangan bimbang kononnya COVID di sekolah terkawal walaupun tiap-tiap hari terkeluar berita bahawa puluhan sekolah diarah tutup sebab ada murid didapati positif dan purata 31% daripada kluster baru yang diumum KKM setiap hari adalah dari sektor pendidikan.

“Jika gelombang ketiga COVID berasal dari kilang-kilang dan tapak pembinaan maka sekolah-sekolah mungkin menjadi punca gelombang keempat yang jauh lebih besar sebab kadar pergaulan di sekolah adalah jauh lebih tinggi berbanding kilang dan tapak pembinaan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.