Sidang Parlimen: Timbalan Speaker Bangkitkan Persoalan Mengenai Kenyataan Menteri Undang-Undang

SAYA ingin menujukan beberapa persoalan berhubung kenyataan media oleh YB Datuk Seri Takiyuddin Hasan yang bertajuk ‘Sidang Parlimen diadakan selepas tamat darurat, tulis Ahli Parlimen Pengerang Datuk Sri Azalina Othman Said.

Katanya apabila menyentuh tentang “Constitutional Responsibilities” seperti yang disebut oleh Datuk Seri Takiyuddin, konsep sistem demokrasi berpalimen dan doktrin pemisahan kuasa tidak boleh diabaikan dan perlu diberikan perhatian yang seimbang oleh sebab konsep dan dokrtrin ini masing-masing terukir di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bab 3 (Badan Eksekutif) dan Bab 4 (Badan Perundangan Persekutuan) di bawah Bahagian IV serta Bahagian IX (Badan Kehakiman).

Azalina yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata keputusan Kerajaan untuk menggantung Parlimen melalui Seksyen 14 Ordinan Darurat No. 1 secara langsung dan tidak langsung menjejaskan kesinambungan dan kelestarian doktrin pemisahan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen di negara.

”Tidakkah sistem demokrasi berparlimen dalam negara ini seolah tidak lagi wujud memandangkan badan Eksekutif bukan lagi bertanggungjawab kepada Parlimen?”

”Jika Eksekutif seakan-akan tidak lagi bertanggungjawab kepada Parlimen selaras dengan konsep sistem demokrasi berparlimen, kepada siapakah badan Eksekutif bertanggungjawab.”

Dan tidakkah YB Kota Bharu berpendapat ada kebenaran dalam pepatah Inggeris yang berbunyi “the Constitution is not a document for the government to restrain the people; it is an instrument for the people to restrain the government”? soalnya lagi menerusi satu kenyataan pagi ini.

Berikut adalah kenyataan media penuh beliau:-

Saya ingin menujukan beberapa persoalan berhubung kenyataan media yang dimuat naik dalam hantaran Facebook YB Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan (“YB Kota Bharu”) yang bertajuk “Sidang Parlimen Diadakan Selepas Tamat Darurat” (“Kenyataan Media”).

Kesedaran Kerajaan mengenai “constitutional responsibilities”

2. Apabila menyentuh tentang “constitutional responsibilities” seperti yang disebut oleh YB Kota Bharu, konsep sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) tidak boleh diabaikan dan perlu diberikan perhatian yang seimbang oleh sebab konsep dan dokrtrin ini masing-masing terukir di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bab 3 (Badan Eksekutif) dan Bab 4 (Badan Perundangan Persekutuan) di bawah Bahagian IV serta Bahagian IX (Badan Kehakiman).

3. Konsep sistem demokrasi berparlimen membayangkan negara ditadbir oleh badan Eksekutif yang bertanggungjawab kepada Parlimen manakala doktrin pemisahan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif pula melibatkan kewujudan prinsip semak dan imbang (check and balance) yang melindungi penumpuan kuasa dalam mana-mana satu cabang.

4. Sehubungan ini, keputusan Kerajaan untuk menggantung Parlimen melalui Seksyen 14 Ordinan Darurat No. 1 secara langsung dan tidak langsung menjejaskan kesinambungan dan kelestarian doktrin pemisahan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen di negara.

5. Sungguhpun YB Kota Bharu memberi jaminan bahawa Kerajaan menyedari “constitutional responsibilities” tersebut, namun demikian menurut YB Kota Bharu, keutamaan pada masa ini adalah untuk memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya. Dalam hal ini, saya menjemput YB Kota Bharu untuk memberikan pencerahan tentang beberapa persoalan yang sering ditanya oleh Ahli-ahli Parlimen dan rakyat:

5.1. Tidakkah sistem demokrasi berparlimen dalam negara ini seolah tidak lagi wujud memandangkan badan Eksekutif bukan lagi bertanggungjawab kepada Parlimen?

5.2. Jika Eksekutif seakan-akan tidak lagi bertanggungjawab kepada Parlimen selaras dengan konsep sistem demokrasi berparlimen, kepada siapakah badan Eksekutif bertanggungjawab?

5.3. Tidakkah YB Kota Bharu berpendapat ada kebenaran dalam pepatah Inggeris yang berbunyi “the Constitution is not a document for the government to restrain the people; it is an instrument for the people to restrain the government”?

YB Kota Bharu ada menyatakan bahawa pandangan boleh disalurkan kepada Kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan seperti Jawatankuasa Khas Bebas

6. Dalam Kenyataan Medianya, YB Kota Bharu seakan-akan menyamakan Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat No. 1 dengan institusi Parlimen walhal kedua-duanya memainkan peranan yang jauh berbeza sama sekali. Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi bagi Kerajaan Persekutuan meluluskan dan meminda undang-undang Persekutuan, memeriksa dan menyoal dasar-dasar Kerajaan melalui pertanyaan bagi jawab lisan, sesi kamar khas dan waktu pertanyaan Menteri serta meluluskan bajet Kerajaan dan cadangan cukai baru.

7. Sebaliknya, Jawatankuasa Khas Bebas hanya sekadar bertanggungjawab untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) sama ada Darurat perlu diteruskan atau tidak. Sekiranya YB Kota Bharu membayangi bahawa Jawatankuasa Khas Bebas akan menggantikan peranan dan fungsi Parlimen, tidakkah YB Kota Bharu merasakan lebih baik jika suatu Ordinan dimasyhurkan supaya suatu “Jawatankuasa Bebas 2.0” baru yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen dan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat ditubuhkan untuk memainkan peranan tersebut?

8. Jika ya pun pendapat-pendapat boleh disalurkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas, tidakkah YB Kota Bharu merasakan bahawa terma-terma rujukan yang baru patut diperkenalkan atau dipinda supaya proses bagi penyaluran cadangan dan pendapat dapat dilakukan? Tambahan lagi, Ahli-ahli Parlimen dan rakyat tidak mempunyai akses kepada prosiding mesyuarat yang diadakan antara ahli-ahli Jawatankuasa Khas Bebas dan Jawatankuasa Khas Bebas tidak menjalankan siasatan atau inkuiri berdasarkan pendengaran awam yang disiarkan di media massa.

Tidak wajar mewujudkan perasaan syak wasangka dan sangsi berlakunya salahguna kuasa oleh Kerajaan walaupun “action speaks lounder than words”

9. Berbalik kepada hujahan saya di atas, soalan saya kepada YB Kota Bharu adalah; bagaimanakah YB Kota Bharu boleh menyatakan bahawa sistem Kerajaan berfungsi seperti biasa jika Jemaah Menteri dalam Kerajaan tidak lagi bertanggungjawab kepada Parlimen menurut Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan di mana Parlimen digantung?

10. Saya turut menyatakan kenyataan YB Kota Bharu bahawa pentadbiran oleh Kerajaan boleh terus dipantau oleh pihak penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (“PAC”) adalah bagaikan melepaskan batok di tangga.

11. Sebaliknya, saya boleh faham mengapa Pengerusi PAC, YB Ipoh Timur telah bertanya YB Kota Bharu pada 26 April 2021 bagaimana Kerajaan boleh dipantau sekiranya prosiding dan mesyuarat PAC digantung. Adakah Kenyataan Media oleh YB Kota Bharu mengatasi (supersedes) dapatan perundangan yang telah diberikan oleh pihak Peguam Negara dan bererti bahawa aktiviti-aktiviti PAC kini boleh diteruskan? Seiring dengan ini, adakah aktiviti-aktiviti Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan di Parlimen juga boleh diteruskan?

Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf seandainya soalan-soalan bagi pihak rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen menggores hati YB Kota Bharu. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadhan kepada YB Kota Bharu, seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri, warga Parlimen dan semua umat Islam, Maaf Zahir & Batin. – bnnewsonline

AZALINA OTHMAN SAID
Ahli Parlimen Pengerang