Pelihara Nama Sekolah Dengan Pelihara Harga Diri Pelajar, Bukan Pertahankan Sikap Candaan Jenayah Rogol

KUALA LUMPUR, 28 April – Memelihara nama baik sekolah adalah dengan memelihara harga diri pelajar dan bukan mempertahankan sikap jelek dan candaan tentang jenayah rogol, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kata bekas Menteri Pengajian Tinggi itu, pendidikan adalah tentang ‘higher purpose’ dan jika kehormatan wanita menjadi bahan gurauan dan candaan, jelas kompas moral sistem pendidikan kita telah parah.

“Kita tidak mahu guru tidak bermoral di sekolah kita! Pelajar kita memerlukan pencerah dengan moral, sikap dan perwatakan terpuji.

“Anak anak di sekolah wajar mendapat guru dan sistem pendidikan yang boleh memberikan impak terbaik dan luar biasa kepada pengalaman pembelajaran mereka.

“Sesuatu yang tidak memenuhi standard tersebut, bukan pendidikan selayaknya untuk generasi muda Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Khaled memberi reaksi demikian berhubung tindakan seorang murid perempuan yang telah tampil dengan video tentang kegusaran beliau terhadap guru sukannya yang bercanda tentang jenayah rogol.

“Murid itu kemudiannya menerima ancaman dan cercaan kerana keberaniannnya. Malah ada yang mengatakan beliau gagal menjaga nama baik sekolah.

“Masyarakat kita mesti mempertahankan keberanian bersuara, harga diri dan maruh gadis tersebut dan menuntut pertanggungjawaban dari guru yang menjadi kontroversi itu,” tambahnya.

Ulasnya juga, gadis berkenaan telah melakukan perkara yang benar dan berani.

“Saudari mengajar masyarakat bahawa mempertahankan harga diri dan kehormatan sebagai seorang perempuan sangat penting dan sangat mulia biar apa pun harga yang harus di bayar.

“Inilah gambaran generasi terbaik bangsa. Berani, terhormat dan berperibadi mulia,” ujarnya dengan meninggalkan tanda pagar #makeschoolasaferplace. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.