Noraini Tegaskan Presiden Tak Pernah Arah Wanita Untuk Sokong Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 28 April – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini nafi mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata untuk mendapatkan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Noraini lagi, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.
“Saya menafikan dakwaan bahawa wujud pertemuan antara Presiden dengan Wanita UMNO bagi meminta sokongan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Pertemuan sedemikian tidak pernah berlaku dan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Saya minta pihak berkenaan tidak mengheret Wanita UMNO ke dalam kancah politik yang tidak sihat,” katanya.
Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian susulan dakwaan daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang berkata wujud gerakan untuk menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu untuk dilantik sebagai perdana menteri. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib