Penguatkuasaan Kena Tegas, Tapi Perlu Adil Dan Bertimbang Rasa – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 27 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pelbagai lagi bentuk pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) janganlah dilaksanakan sehingga menjadi beban dan kesusahan kepada rakyat.

Jelas beliau, pelaksanakan perlu dilakukan dengan tegas tetapi haruslah bersifat adil dan bertimbang rasa.

“Keadilan di tangan kanan, ihsan di tangan kiri. Tanpa ihsan, maka tiadalah pertimbangan untuk keadilan.

“Dan janganlah pula dikuatkuasakan secara berpilih, dengan orang atasan dan yang terkenal mendapat layanan berbeza,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai meluahkan kekesalan beliau ekoran insiden seorang peniaga yang telah diberikan kompaun sebanyak RM50,000 hanya kerana berniaga burger melebihi had masa yang ditetapkan.

Ujar Mohamad, bagi golongan B40 seperti peniaga tersebut, tindakan tersebut sudah pasti sangat membebankan.

“Sikap berdikari beliau, mencari rezeki walau dari hadapan rumah hingga larut malam, tanpa melanggar penjarakan sosial, adalah contoh kerja keras dan daya usaha yang wajar diambil kira dalam melaksanakan penguatkuasaan.

“Minggu lepas, pelajar di sebuah kolej di Perak dikompaun hanya kerana tidak menggunakan pelitup muka dengan kemas untuk membeli makanan.

“Mereka hanya pelajar, tinggal di kawasan asrama dan mereka pasti tidak mempunyai kemampuan untuk membayar denda yang besar,” katanya.

Tegas beliau, rakyat makin dihimpit dengan pelbagai tekanan dek kerana sudah lebih setahun menunggu pengakhiran kepada wabak pandemik COVID-19 ini.

“Janganlah kita pula menambah kesusahan kepada mereka. Penguatkuasaan yang adil dan bertimbang rasa adalah sebaik-baik pengajaran dan teladan insya-Allah,” kata beliau.– UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.