Zahid Luah Dukacita 53 Korban Kapal Selam… Rakam Takziah Kepada Presiden Indonesia

KUALA LUMPUR, 26 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung penemuan kapal selam tentera Indonesia, KRI Nanggala 402 yang ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali dengan kesemua 53 kru disahkan meninggal dunia.

Perkara itu disahkan Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto pada sidang medianya, semalam.

“Sedih menerima perkhabaran berhubung penemuan kapal selam tersebut pada kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali.

“Semoga ahli keluarga 53 kru kapal tabah menerima ujian Allah SWT di bulan yang mulia ini.

“Saya juga mendoakan semoga perajurit yang terkorban diterima segala amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan syahid,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) lagi, beliau sebelum ini sentiasa mengikuti rapat perkembangan kapal selam ini dan berdoa semoga urusan pencarian dipermudahkan selain semua kru ditemui selamat.

“Tetapi apakan daya percaturan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Berkongsi kesedihan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo atas insiden yang berlaku,” ujarnya.

Tjahjanto, mengesahkan bahawa kesemua 53 kru kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia malah beliau turut menjangkakan akan menemui lebih banyak lagi serpihan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui hari ini.

Ianya termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan yang dipakai oleh kru. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.