Peniaga Burger Dikompaun RM50,000 : Pemuda UMNO Kelantan Tawar Bantuan Guaman, Harap Kerajaan Teliti Kembali SOP

KOTA BHARU, 26 April – Terpanggil dengan keluhan anak muda yang gigih mencari pendapatan serba kekurangan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan bersedia memberi bantuan guaman kepada seorang peniaga muda yang dikompaun sebanyak RM50,000.

Kata Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, ia sejajar dengan khidmat bakti Pemuda UMNO yang sentiasa berkhidmat untuk kebajikan rakyat.

“Barisan Peguam Pemuda UMNO Negeri Kelantan, yang diketuai oleh Lt.Kol. Bersekutu (PA) Hj. Nik Saiful Adli Burhan, melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, akan meneliti kes saman ini bagi pihak Wan Mohd Faisal.

“Pemuda UMNO Kelantan melalui peguam akan membantu merayu pengurangan kompaun dengan menyediakan surat representasi peguam kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

“Pemuda UMNO Kelantan berpendapat bahawa saman seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu diberi pertimbangan secara waras oleh pihak berkuasa memandangkan rakyat yang tiada pekerjaan tetap seperti Wan Mohd Faisal ini, baru sahaja mula kembali mendapatkan rentak pencarian ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik bahaya ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Pemuda UMNO menawarkan khidmat tersebut setelah maklum mengenai sebuah portal yang melaporkan berita mengenai seorang anak muda yang berniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang telah dikompaun RM50,000 di atas alasan beroperasi lebih waktu.

Tambah Noor Hariri, atas alasan apa pun yang diberikan sepatutnya faktor timbang rasa perlu ada sebelum mengeluarkan sesuatu saman.

“Apatah lagi alasan lebih masa ini tidak pun menjadi asbab utama penularan virus memandangkan tidak ada pelanggan pun yang menunggu berasak-asak,” tegasnya.

Pemuda UMNO Kelantan juga katanya memohon agar pihak kerajaan pusat dan negeri melihat kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi kes-kes yang melibatkan peniaga bulan Ramadan yang semestinya berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sesuap nasi demi survival hidup keluarga.

“Kami patuh dengan kehendak undang-undang, namun sedikit pengecualian mungkin boleh dibuat bagi melegakan para peniaga yang kais pagi makan pagi ini,” ujarnya. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit