Organ Demokrasi Digantung Tidak Akan Mudahkan Proses Perangi COVID-19, Pulihkan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 26 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sekali pun sangat menghargai segala usaha oleh pihak kerajaan, keadaan yang menyaksikan institusi dan organ demokrasi digantung iaitu ketiadaan sidang Parlimen tidak akan memudahkan pun proses untuk memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ujarnya, negara telah berjaya mengekang wabak ini sebelum ini sekali pun tanpa pengisytiharan darurat.

“Yang lebih ralat, sekali pun selepas diisytiharkan darurat, kita tidak pula menyaksikan sebarang perbezaan dari segi keberkesanan strategi mahupun keputusan kerajaan.

“Jadi, bukankah lebih baik jika segala dasar dan keputusan tersebut dibahas dan dibincangkan dengan telus dan konstruktif dalam Parlimen dan tidak dibiarkan untuk diputuskan oleh Perdana Menteri secara mutlak sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya, berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sekali lagi menuntut supaya Parlimen bersidang, UMNO berpendapat apabila Parlimen tidak bersidang dan kerajaan pula mempunyai kuasa mutlak, akan berlakulah 2 kebimbangan:

“Pertama, tidak wujud akauntabiliti terhadap tindakan kerajaan kerana tiada proses semak dan imbang. Apabila pelbagai institusi serta organ demokrasi digantung, wujud kecenderungan dan kecuaian kerajaan dalam membuat pelbagai keputusan yang tidak perlu, yang dialas dengan alasan darurat dan usaha membendung pandemik.

“Kedua, segala tindakan dan langkah pemulihan yang diambil akan hanya bersifat top-to-bottom, yakni sehala dari kerajaan kepada rakyat. Bukan bersifat pelbagai sudut dari semua pihak,” tegasnya.

Jelasnya juga, UMNO akan terus bekerjasama memastikan sebarang usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi berjalan lancar dan berjaya.

“Kami sedar, kita mesti menang.

“Tetapi, pada masa yang sama, UMNO juga tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan peranannya memastikan kerajaan mempunyai instrumen semak dan imbang dan demokrasi negara kita dijaga dengan sewajarnya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.