Langkah UMNO Tepat, Kerajaan Pun Boleh Mohon Parlimen Diadakan

KUALA LUMPUR, 26 April – Langkah serta keputusan UMNO untuk memohon nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi melaksanakan pemilihan parti adalah tepat dan sesuai dengan situasi wabak ketika ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata nasihat dan garis panduan COVID-19 cukup penting kerana pemilihan akan melibatkan 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara oleh ahli seramai hampir 3.3 juta orang.

Menurut beliau biarpun negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19, namun UMNO tetap komited mahu melaksanakan pemilihan parti terbesar itu, namun ianya perlu nasihat dan SOP jelas daripada MKN.

“UMNO telah pun membuat keputusan bahawa pemilihan parti akan diadakan dan memohon MKN memberikan nasihat dan garis panduan SOP COVID-19 bagi melaksanakan pemilihan itu.

“Saya percaya, tentunya MKN mempunyai nasihat dan SOP terbaik bagi memastikan pemilihan yang melibatkan 3.3 juta ahli UMNO itu dapat dilaksanakan walaupun dalam suasana norma baharu. COVID-19 telah pun berada dalam masyarakat dan kita tak dapat lari dari wabak ini, cuma pendekatan yang terbaik perlu dilaksanakan dan diamalkan bagi memastikan kita tidak dijangkiti wabak berkenaan.

“Sampai bila kita mahu lari dan menghadkan segala aktiviti disebabkan oleh COVID-19? Wabak ini bukan baharu kerana telah lebih setahun menular di negara ini dengan keluk jangkitannya turun dan naik. Sekolah pun telah dibuka setelah lebih setahun ditutup, jadi saya berpandangan keputusan UMNO untuk memohon nasihat MKN berhubung SOP dan garis panduan bagi melaksanakan pemilihan parti adalah tepat dan sesuai dengan situasi wabak ketika ini,” katanya dalam satu kenyatan di sini, hari ini.

Tambah Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, jika UMNO boleh memohon kepada MKN, kerajaan pun sewajarnya melakukan perkara sama bagi membolehkan Parlimen dan DUN kembali bersidang selaras Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat.

“Sudah sampai masanya persidangan Parlimen dan juga DUN kembali dibuka supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya. Jika terus ditangguhkan, segala urusan pentabiran menjadi tergendala dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.

“Jika anak-anak kecil di sekolah rendah yang sukar memahami dan mematuhi SOP pun sudah kembali bersekolah dan bersemuka sesama mereka, maka wakil rakyat yang lebih berusia pada murid sekolah rendah dan pastinya faham SOP ditetapkan seharusnya kembali bersidang di Parlimen dan DUN,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.