Pemuda Arau Sambut Baik Keputusan Parti – Syed Atif

KUALA LUMPUR, 25 April – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti berhubung perlantikan Datuk Seri Azlan Man selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata perlantikan ini diharapkan dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik negeri Perlis khususnya di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Semoga dengan perlantikan ini  akan dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di negeri ini yang sekian lama berada di dalam dilemma disebabkan permasalahan berkaitan adanya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal.

“Pergerakan ini juga menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membawa pembaharuan yang positif untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.

“Dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, penting diri dan ketidakpedulian kerajaan yang ada pada hari ini, ketegasan pucuk pimpinan dalam percaturan mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti amatlah bertepatan dan kena pada masanya.

“Di kesempatan ini juga ingin kami rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah menabur khidmat bakti memimpin UMNO Perlis dalam tempoh yang begitu lama selama lebih 20 tahun. Semoga beliau dapat terus memberikan sokongan dan kerjasama yang membina dan tidak berbelah- bahagi untuk membantu memperkukuhkan parti dan menghormati keputusan-keputusan resmi parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Syed Atif lagi, penghargaan dan kenang budi ini bukanlah jalan sehala kerana teramat banyak juga jasa bantu parti UMNO ini(serta ahli-ahlinya) yang seharusnya dihargai dan dikenang dengan sebaik-baiknya.Resmi berjuang dan beroganisasi ada masanya kita disokong dan ada masanya kita perlu menyokong.

“Besarlah jua harapan Pergerakan ini agar seluruh ahli-ahli dan penyokong UMNO di Perlis terus istiqomah dalam perjuangan serta bersiap sedia untuk mengharungi lembaran baru perjuangan ini. UMNO Perlis tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin tentunya mempunyai corak kepimpinan yeng tersendiri,” katanya.

Justeru  tambah Syed Atif lagi sebagai sebuah parti besar yang dominan UMNO Perlis tidak boleh bersikap static dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu memimpin seolah-olah orang lain semuanya tak layak.

“Terima kasih kepada Presiden. Terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim. Tahnih Datuk Seri Azlan Man,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.