Wanita UMNO Gesa Siasatan Segera Isu Guru Raba Pelajar Perempuan Bukti Datang Haid

KUALA LUMPUR, 24 April – Wanita UMNO menggesa pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan segera bagi mengatasi isu guru meraba pelajar perempuan di sekolah bagi membuktikan pelajar datang haid agar ia tidak mencemarkan institusi sekolah di negara.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau meneliti dengan penuh cermat polemik berhubung isu ini.

“Perkara ini amat mengejut dan memalukan kerana ia masih berlaku dalam era kini. Bagi saya tindakan meraba bahagian sulit wanita bagi memastikan pelajar datang bulan adalah suatu tindakan yang melampau,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Ujar Noraini, sekiranya dakwaan ini benar maka pihak berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini dihentikan serta-merta dan tidak berulang lagi.

“Tindakan memaksa pelajar mencalit kemaluan sendiri bagi membuktikan pelajar perempuan benar-benar sedang datang haid bukan saja menjatuhkan maruah mereka, bahkan melanggar privasi dan ia juga boleh disifatkan sebagai gangguan seksual.

“Saya percaya tindakan sebegitu adalah bertentangan dengan norma ataupun dasar pendidikan negara.”

Bahkan katanya, Islam sendiri menuntut kita supaya memelihara maruah serta aib orang lain.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang tenang, seronok dan penuh kasih sayang yang membuatkan pelajar rasa gembira dalam menimba ilmu dan dan bukannya berasa terancam ataupun diganggu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.