Sokongan Ahli Kunci Utama Kekuatan UMNO Kekal Utuh – Syed Ibrahim

MARAN, 23 April – Kepercayaan daripada rakyat merupakan kunci utama kepada UMNO untuk terus kekal utuh, kata Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Jelasnya, antara pendekatan yang lebih ampuh untuk ke arah itu adalah dengan mendekati rakyat melalui program-program yang bersifat kemasyarakatan.

“Sebenarnya sebagaimana usaha Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa terbuka supaya perjumpaan dan pertemuan secara bermasyarakat, sosial dan politik ini dapat kita garapkan.

“Tujuannnya adalah untuk memperkasakan dan maraih kembali kepercayaan orang ramai terhadap parti kita.

“Inilah medan utama dengan usahanya untuk memperkuat dan berupaya turun ke padang berjumpa serta berkhidmat kepada orang ramai,” ujarnya dalam satu program bersama anggota kepimpinan UMNO, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata kepercayaan yang diberikan oleh rakyat adalah penting buat UMNO untuk menjadikan parti ini kembali dominan seperti suatu ketika dahulu.

Jelasnya, kekuatan sebegini adalah penting untuk memastikan sebarang dasar yang hendak dilaksanakan dilakukan dengan sebaik mungkin.

“Kita harus memulihkan kekuatan sebagai mana yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu kita mempunyai majoriti yang besar kita mempunyai suara yang kuat.

“Semua keputusan kita dapat buat dengan jayanya tapi kali ini kita terpaksa berdiplomasi serta berhemah untuk membuat sebarang keputusan dan mendekati isu-isu yang kita hadapi,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.