KWAN Untuk Vaksin: Wajarkah Kerajaan Pertaruhkan Kesejahteraan Generasi Akan Datang… Tiada Pilihan Lainkah?

KUALA LUMPUR, 23 April – Wajarkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung tindakan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin.

“Tindakan kerajaan PN menggunakan peraturan darurat untuk menggunakan KWAN bagi vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya adalah sangat membimbangkan.

“Tindakan tersebut sangat mengusarkan dan memperlihatkan kerentanan kemampuan kerajaan dalam mengurus krisis COVID-19.

“Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion telah diperuntukkan untuk vaksinasi 83% rakyat Malaysia. Namun, tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci tentang bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sebulan yang lalu peruntukan untuk Program Imunisasi COVID Nasional ini ditambah menjadi RM5 bilion.

“Tujuannya untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan 80% penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?

“KWAN ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi yang negara semakin menyusut,” tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, oleh kerana perkara ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan ketelusan yang tinggi.

“Setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang.

“Bahkan, tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada peristiharan darurat,” katanya.

Seterusnya, Mohamad berpandangan sebenarnya masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu.

“Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” ujarnya. – UMNO ONLINE