Ramadan Dimanfaat, Jaga Barakah Dalam Apa Juga Perkara – Ahmad Zahid

GOMBAK, 22 April – Sempena bulan Ramadan ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada rakyat agar sentiasa menjaga keberkatan dalam apa juga perkara yang dilakukan.

Menurut beliau, namun perkara yang paling penting adalah berkat dalam memperolehi rezeki atau harta dengan cara yang baik.

“Yang penting bukan harta banyak, bukan duit banyak, kerana walaupun sedikit wang yang kita ada ataupun harta yang kita ada, namun yang paling penting adalah barakah itu.

“Perkara yang penting itu adalah sumber pendapatan yang kita perolehi itu harus halal ‘halalan toyyiban’ yang bermaksud baik dan halal ini akan menjadi barakah kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Tahfiz Al-Habbah, Taman Jasa Utama Batu Caves, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berpesan agar kenikmatan bulan Ramadan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dengan melakukan amal ibadah.

“Kita masuk fasa kedua dan seterusnya fasa ketiga dalam bulan yang mulia ini.

“Mudah-mudahan dengan bersempenanya 10 Ramadan pada malam ini, insya-Allah pengampunan berlaku sekiranya ibadah kita ini diterima.

“Semoga urusan kita ini dipermudahkan, kita tahu ada sesuatu yang kita timba di situ,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib