Medium Penyaluran Maklumat Dipelbagai Bantu Ahli Parti Dapat Info Tepat – Shahril

SEREMBAN, 22 April – Medium parti dalam menyalurkan maklumat dan info semasa bukan sahaja perlu dipelbagaikan malah mesti ada kesinambungan dalam memastikan apa yang disampaikan diterima oleh kumpulan sasar.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata dalam dunia teknologi maklumat hari ini, masing-masing boleh mengakses serta mendapat info bukan hanya terhad kepada televisyen semata-mata malah menerusi media sosial juga.

“Aplikasi yang kita buat pada hemat kami amat diperlukan khususnya dalam keadaan politik negara yang menuntut pengundi dan jentera parti penting bukan hanya untuk mendapat maklumat daripada media perdana semata-mata, malah menerusi media sosial juga… walaupun parti ada UMNO-Online yang menyalurkan maklumat namun kita perlu pelbagaikan medium kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama Ketua-Ketua Penerangan Negeri Sembilan, di sini semalam.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah aplikasi yang dibangunkan kali ini bukanlah dianggap penyelesaian kepada semua masalah.

Namun kata beliau sekurang-kurangnya ada medium yang boleh mengenalpasti sama ada sesuatu info grafik yang dikeluarkan adalah palsu atau benar.

“Banyak masa dihabiskan untuk kita sama-sama mewujudkan satu saluran… bukan kata boleh selesai masalah tetapi sekurang-kurangnya boleh sahkan sama ada infografik yang keluar di media sosial adalah perkara yang benar atau sebaliknya.

“Zaman fitnah… maklumat sahih atau tak sahih terlalu banyak dan niat kami menjernihkan… ada juga dalam bank isu iaitu isu yang kita rasa sesuai dimainkan dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru agar semua pihak di dalam parti tidak menembak kaki sesama sendiri.

“Perbezaan pendapat dan pandangan perkara biasa… kita urus perkara yang tentunya ada perbezaan dari sudut perspektif dan bukannya soal perjuangan… jangan tembak sesama sendiri… kita kena rasional ikut ketetapan parti,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.