Hormatilah Pimpinan UMNO, Memorandum Bantah Kenyataan Biadap MPT PPBM – Armand Azha

PETALING JAYA, 22 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata beliau telah menghantar satu memorandum bantahan kenyataan biadap oleh ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM iaitu Muhammad Faiz Na’aman.

Jelas beliau, dalam  kenyataan tersebut beliau meminta pimpinan tertinggi parti berkenaan dapat mengambil tindakan  yang sewajarnya terhadap Faiz Na’aman.

“Kita minta dalam memorandum bahawa Presiden PPBM dan juga ahli Majlis PPBM mengambil tindakan tegas terhadap Muhammad Faiz jikalau mereka menghormati dan sokongan yang diberikan oleh UMNO terhadap penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau pemimpin-pemimpin yang beliau katakan iaitu ‘kluster mahkamah’ tidak menyokong kerajaan PN maka tidak tertubuhnya kerajaan PN dan tidak mungkin Presiden PPBM menjadi Perdana Menteri.

“Disember 2020 iaitu pada sidang Dewan Rakyat enam orang ahli Parlimen UMNO yang beliau mengatakan kluster mahkamah dan sebagainya telah menyokong bajet 2020 sehingga bajet itu dapat diluluskan,” beliau berkata demikian dalam sidang media di hadapan Pejabat PPBM, Petaling Jaya hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menjelaskan bahawa ini menunjukkan pemimpin UMNO berjiwa besar dengan menghormati kerjasama politik dalam PN.

“Kita minta kepimpinan PPBM untuk mengambil tindakan jikalau mereka menghormati sokongan yang telah diberikan oleh parti UMNO,” ujarnya.

Dalam pada itu Arman juga menegaskan bahawa memorandum yang dihantar adalah dengan cara aman tanpa adanya huru-hara.

“Kita hantar dengan aman dan kita beri penjelasan. Ini menunjukkan kematangan UMNO berpolitik dan kematangan UMNO menghormati dalam Perikatan Nasional (PN).

“Dua tahun lalu PPBM telah menghantar memorandum di PWTC  dan tercetusnya huru hara,ini menunjukkan mereka bergerak secara emosi dan hari ini kita tunjuk macam mana contoh pemimpin yang matang dalam menghantar memorandum ini,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.