UMNO Pelbagaikan Titik Sentuhan, Terus Ke Depan Dekati Rakyat Serta Ahli

JELEBU, 21 April – Titik sentuhan antara UMNO dan masyarakat luar parti perlu sentiasa ditingkatkan selain sentuhan bersama dengan ahli serta jentera UMNO semua peringkat dipelbagaikan.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata kedua-duanya cukup penting dan mempunyai peranan yang tersendiri.

“Selalu sebutkan antara yang UMNO perlu lakukan adalah pelbagaikan titik sentuhan bersama rakyat dan jika tidak ada KPI tersebut, tidak ada kesungguhan tersebut saya khuatir hanya akan fokus program dalaman. Ya betul program dalaman juga penting bersama jentera… bersama ahli tetapi kita sedia maklum statistik menunjukkan bahawa pengundi luar UMNO jauh lebih besar.

“Maka persoalannya berapa banyak titik sentuhan UMNO dan juga rakyat di luar parti. Setiap kali saya turun saya cuba aplikasikannya… ada sesi bersama dalaman tertutup dan ada sesi bersama rakyat… ‘Sambung Yang Tergendala’ semuanya ke arah untuk memastikan keseimbangan antara program bersama dengan UMNO dan bersama dengan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau bersama Pemuda Jelebu mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar di Pekan Kuala Klawang bersama Pemuda setempat lain.

Seterusnya Majis Iftar Pemuda UMNO Negeri Sembilan bersama masyarakat di Kg Larong yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Shahril seterusnya menambah UMNO terus ke depan dalam soal kebajikan apatah lagi di bulan Ramadhan ini yang masing-masing ada program tersendiri di seluruh negara.

“Hari ini kita di Kuala Klawang Parlimen Jelebu dalam program selepas kita adakan perjumpaan dengan Penerangan UMNO Malaysia bersama pimpinan Pemuda setempat… program agihan bubur lambuk termasuk ziarah kasih dan saya yakin program serupa ini sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Lazimnya UMNO dan jentera UMNOlah yang terkedepan dalam progran kemasyarakatan khususnya dibulan mulia ini dan ini adalah program sinonim setiap kali Ramadhan tiba,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias dalam ucapannya pada Program Iftar Pemuda Negeri Sembilan berkata perjuangan UMNO tidak akan lupus kerana parti diwarisi barisan pelapis dari semasa ke semasa.

“Agenda perjuangan dapat diteruskan. Siapa kata UMNO makin lemah… siapa kata pimpinan UMNO makin lama makin hilang.

“Cumanya yang penting seiring untuk ke depan… matlamat mesti sama walaupun perjalanan berbeza. Setiap pemimpin silih berganti manakala UMNO tetap kekal,” ujarnya. – UMNO Online