Pahang Negeri Stabil Di Bawah BN, Kekal Amanah Jaga Kebajikan Rakyat – Shahaniza

MARAN, 21 April – Pahang merupakan negeri dalam tadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi satu-satunya negeri yang paling stabil di sebalik kemelut politik yang melanda negara ketika ini, kata Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Jelasnya walaupun ketidaktentuan ini terjadi namun di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, negeri ini masih kekal tenang dengan melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat di negeri ini

“Kita boleh mengatakan bahawa Pahang merupakan negeri yang paling stabil dalam negara kita pada masa ini,” katanya.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata bagaimanapun usaha keras perlu juga dilaksanakan sebagai persiapan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Ini memerlukan komitmen kita semua untuk sama-sama membantu bos kita, Datuk Seri Wan Rosdy untuk mengekalkan kerajaan negeri Pahang di bawah pentadbiran BN pada PRU15 yang akan datang.

“Malah kita juga perlu menambah lagi kerusi-kerusi DUN daripada 25, mungkin kita boleh tambah lagi empat atau lima kerusi.

“Manakala di peringkat Parlimen insya-Allah kita akan rampas lima kerusi yang telah kita hilang kepada Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu program bersama anggota parti, baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib