Keikhlasan Adalah Keutamaan, Tidak Ada Batas Politik Halang Niat Baik – Ahmad Zahid


KOTA RAJA, 21 April – Dalam melakukan dakwah ianya mesti dilaksana dengan niat yang baik dan ikhlas walaupun halangan yang akan mendatang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, yang penting kebajikan yang dilakukan adalah dengan penuh keikhlasan agar mendapat keredhaan dari Allah SWT.

“Allah Taala akan melihat bahawa keikhlasan itu menjadi keutamaan kepada amal soleh kita dan tentunya ujian pasti datang dan tidak ada sesuatu yang percuma. Di dalam politik pun begitu apatah lagi apa yang kita tuju ialah ‘darul akhirah’ dan apa yang kita mahu peroleh adalah ‘al-jannah’.

“Saya berpegang bahawa di dalam menterjemahkan amal soleh tidak ada batas-batas politik yang harus menghalang kita, biarpun kita berbeda pegangan tetapi untuk hal-hal keagamaan (agama Islam) kita harus mengetepikan segala halangan ini kerana kita diminta melakukan pendekatan dan ketatasusilaan,” katanya ketika jamuan berbuka puasa di Maahad Darul Tahfiz Ummul Qura, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO (SUA), Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rizam Ismail dan Datuk Rosni Sohar yang juga Ketua Wanita UMNO Selangor; Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ahmad Zahid yang juga Ali Parlimen Bagan Datuk berkata, pelaksanaan kepada amal soleh melalui pewujudan ‘huffaz’ merupakan satu kesinambungan yang Allah SWT janjikan dengan ganjaran yang banyak dan harus dilakukan dengan penuh ikhlas.

“Sebagai contoh 17 tahun Allahyarham Ustaz Ahmad Rosul yang telah membina mahaad tahfiz ini dan bukannya mudah untuk melahirkan beratusan ‘al-huffaz’ yang menjadi aset bukan saja kepada agama tetapi juga aset kepada bumi Kota Raja ini.

“Kita mahu supaya soal-soal untuk ‘mensyumulkan’ Islam, mendaulahkan Islam dan ianya bukan sekadar satu iltizam tetapi ianya mesti dapat dilaksanakan dengan mengisikan makna kepada Islam itu melalui segala aspek kerana Islam itu ‘addin’.”

Seterusnya beliau menyeru kepada semua supaya di bulan Ramadan di jadikan sebagai ‘madrasah’ ataupun juga  sebagai ‘learning centre’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.