Binatang Politik: Ahmad Zahid Tegaskan UMNO Enggan Gadai Parti Demi Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 21 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apa perlu UMNO melayan salakan tidak tentu arah kerana salakan amarah itu ekoran majoriti pemimpin UMNO enggan menggadaikan parti keramat agama, bangsa dan negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ekoran sebahagian pimpinan UMNO dilabelkan sebagai binatang politik oleh pemimpin Bersatu.

“Kita tidak pasti binatang apa yang disamakan itu, tetapi yang pasti bukan haiwan bergelar katak.
Mustahil mereka tergamak menyamakan pemimpin UMNO yang setia dengan katak,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, tidak cukup dengan mencerca, pemimpin UMNO ditambah pula dengan tuduhan bersifat fitnah.

“Ya memang begitulah politik berpaksikan fitnah terus menerus dijadikan ‘senjata’ sejak PRU14.

“Apapun begitu sekali kebencian ditunjukkan pemimpin Bersatu itu kepada UMNO dan pimpinannya. Sehinggakan dasar UMNO sejak ditubuhkan mempertahankan kepentingan Melayu turut diperlekeh.

“Kita tahu mengapa pemimpin Bersatu itu bersikap demikian meskipun di bulan yang mulia bulan Ramadan.”

Dalam hal ini beliau mengajak anggota parti untuk berdoa khususnya antara waktu mustajab doa ketika hendak berbuka puasa dan semoga Allah menerima segala amal ibadah dan dimakbulkan segala doa semua.

Terdahulu berkongsi ungkapan bermakna al Imam Al Syafie untuk difahami:

‘Katakanlah apa yang kamu inginkan dalam mencela maruahku, maka diamku dari cercaan itu adalah satu jawapan.
Bukanlah aku tidak memiliki jawapan, Akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?’

Dilaporkan, dua hari lalu pemimpin Bersatu iaitu Ahli MPTnya Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ yang merujuk kepada pimpinan UMNO sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi. – UMNO Online