Pemuda UMNO Bantu Pelajar Matrikulasi Dikompaun RM1,500

KUALA LUMPUR, 20 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan kompaun RM1,500 yang dikenakan kepada pelajar-pelajar Pusat Matrikulasi di Perak bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Simpati dengan nasib yang menimpa para pelajar berkenaan, beliau meminta Pasukan Khas Sekretariat Peguam Muda bagi memberikan bantuan khidmat guaman percuma.

“Sudahlah mereka dikuarantin lima bulan, hanya berada di dalam kawasan asrama dan tidak dibenarkan keluar sama sekali, kini dikompaun pula.

“Saya telah meminta Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Faridzul Azlan merangkap Ketua Pemuda UMNO Tambun yang juga seorang peguam untuk mengetuai pasukan ini.

“Bagi membantu pelajar-pelajar tersebut yang dikompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika turun dari asrama ke kantin untuk membeli juadah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Asyraf, sudah pastinya pelajar tersebut mengalami tekanan, gangguan emosi dan psikologi akibat memikirkan kejadian tersebut.

“Insya-Allah, pihak kami akan membantu menyediakan khidmat guaman secara percuma untuk membuat representasi bagi pihak pelajar-pelajar terbabit termasuklah membuat rayuan bagi pihak mereka kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemuda UMNO hanya mengharapkan suatu penyelesaian terbaik dapat dicapai dengan pihak KKM agar dapat menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan kondisi dan situasi pelajar-pelajar terbabit dalam kawasan yang sudahpun melalui proses kuarantin selama 5 bulan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.