Harga Barang Naik Lagi! Kerajaan Perlu Proaktif, Bukannya Reaktif, Tegas Mohamad

KUALA LUMPUR, 20 April – Kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif mereka, tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, tadbir urus yang proaktif sangat diperlukan untuk mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang.

“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar untuk memastikan kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

“Kerajaan mesti dengan segera menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan mereka yang memerlukan.

“Strategi terbaru dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasaraya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup dan kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera.

“Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.

“Yang lebih membimbangkan ialah kenapa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baru diumumkan dan akan dikuat kuasakan bermula 21 April hanya melibatkan 12 barangan kritikal?

“Adakah wajar untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam Skim tersebut. Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?’ soalnya lagi.

Ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga, kenaikan harga barang sekali lagi melanda negara lebih-lebih lagi mendekati musim perayaan.

“Rakyat terus terhimpit kerana pemulihan sektor ekonomi terus perlahan, kadar pengangguran yang tinggi serta isu ‘underemployment’ semakin kritikal.

“Jadi bila berlaku kenaikan harga barangan asas, kehidupan begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sangat sukar. Punca kenaikan harga selalunya adalah disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran.

“Adakah ini bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi? Dan jika mencukupi, setakat berapa lama lagi kecukupan itu akan bertahan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.