Duta Cuba Akui UMNO BN Tulang Belakang Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 20 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berbesar hati menerima kunjungan hormat Duta Cuba Ke Malaysia, H.E Florentino Batista Gonzalez.

Kata Ahmad, sewaktu pertemuan tersebut Gonzalez berpandangan bahawa Malaysia berada di kedudukan yang stabil sewaktu pentadbiran di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

“Itu diakui daripada pengalaman beliau yang pernah berkhidmat sebelum ini lagi di sini, katanya Malaysia merupakan sebuah negara yang stabil di bawah kerajaan BN.

“Beliau juga berkongsi kepada saya bahawa UMNO ini merupakan adalah tulang belakang negara ini.

“Jadi kita ucap terima kasihlah kerana penghargaan beliau kepada parti UMNO dan BN, penghormatan mereka itu sangat tinggi dan beliau juga berharap hubungan UMNO dengan Cuba dapat diteruskan dan dipertingkat,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian selepas pertemuan itu di Pejabat Setiausaha Agung UMNO, di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Sementara itu, pertemuan itu juga turut sama menyentuh berkenaan kejayaan Cuba yang telah mengeluarkan lima vaksin bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negara itu.

“Beliau berpandangan bahawa negara-negara lain perlu berdikari untuk mengeluarkan vaksin sendiri.

“Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa kerajaan Malaysia juga wajar berdikari dari segi bioteknologi pengeluaran vaksin.

“Sebab kita tidak tahu selepas ini apa pulak penyakit yang akan timbul, jadi adalah penting penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia dipertingkatkan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib