Cermin Diri Sebelum Hina Orang Lain, Kluster Pengkhianat Adalah Binatang Politik – Najmil

KUALA LUMPUR, 20 April – “Sedap mengata UMNO dengan gelaran ‘Binatang Politik’ yang ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau mempunyai kes mahkamah sedangkan siapa Muhammad Faiz Na’aman ini hendak menghina pemimpin UMNO?”

Demikian soal Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris yang membidas tindakan biadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman ekoran menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

Katanya, jangan lupa kerana UMNO jugalah pemimpin Bersatu merasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri walaupun memerintah dengan tidak mempunyai majoritinya.

“Lain kali cermin diri dahulu sebelum menghina orang. Betapa jijiknya kamu mengkhianati mandat rakyat yang mengundi kamu atas nama Pakatan Harapan dan akhirnya meruntuhkan kerajaan sendiri kerana gila kuasa.

“Rakyat akan ingat Bersatu sebagai parti pengkhianat terbesar dalam sejarah negara. Rakyat akan ingat Bersatu sebagai pembunuh demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Rakyat akan ingat Bersatu sebagai entiti utama yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional ke arah kegagalan termasuklah dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan juga kesihatan,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.
Soalnya, inikah kerajaan yang ingin rakyat Malaysia banggakan dan harapkan untuk masa depan yang lebih cerah?

“Lalu parti kamu menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengukuhkan kuasa dengan menerima ahli-ahli parlimen yang lompat parti untuk menyokong kerajaan.

“Berseronoklah kamu sementara di atas. Dunia ini seperti roda. Rakyat akan menghukum Bersatu pada PRU-15.”
Maka katanya, tak perlulah nak berkawan dengan ‘Kluster Pengkhianat’ kerana mereka adalah ‘Binatang Politik’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.