Ahmad Zahid Izinkan Pengunjung Facebooknya Promosi Perniagaan Di Ruangan Komen

KUALA LUMPUR, 20 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil membenarkan para pengunjung di Facebooknya untuk mempromosi perniagaan di ruangan komen.

Sambil mengalu-alukan para peniaga, Ahmad Zahid juga berharap agar tiada iklan-iklan perniagaan yang salah di sisi undang-undang.

“Saya tahu dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini ramai berdepan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Maka perniagaan secara dalam talian (online) sedikit sebanyak membantu mendepani kesulitan.

“Bagi peniaga sedia ada pula perlu mempelbagaikan platform memasarkan perniagaan mereka,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Ahmad Zahid memberi respon demikian berkaitan satu komen di statusnya terdahulu yang mencadangkan beliau membuat posting untuk peniaga mengiklankan produk mereka.

Ahmad Zahid juga berharap semoga dengan bilangan rakan-rakan Facebooknya yang kini mencecah lebih 1.6 juta sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga online.

Ahmad Zahid turut memetik mafhum Firman Allah SWT dalam surah As-Syu’ara’ ayat ke 181- 183:

“Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.”

Berdasarkan pemerhatian UMNO Online, jelas kelihatan pelayar maya amat bersetuju dan memuji usaha Ahmad Zahid itu membantu peniaga.

Ketika berita ini ditulis, ruangan komen Facebook Ahmad Zahid mula dilimpahi iklan-iklan perniagaan seperti produk makanan dan minuman, pakaian, hasil kraftangan serta pelbagai produk yang kebanyakannya menjurus kepada persiapan menyambut Aidilfitri.

Manakala seorang netizen dengan panggilan Krull Krull memohon Ahmad Zahid agar berwaspada dan memantau iklan-iklan yang bertentangan dengan nilai-nilai kesucian agama dan undang-undang negara serta yang bertujuan memburukkan namanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.