Gelar Pemimpin UMNO ‘Kluster Mahkamah’…‘Kluster Darurat’ Opportunist Politik

KUALA LUMPUR, 19 April – Gelaran ‘Kluster Mahkamah’ merujuk kepada pimpinan UMNO yang dijaja oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyerlahkan sikap sebenar pimpinan Bersatu yang biadap dan lupa sejarah.

Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor terhadap kenyataan Ahli MPT Bersatu Muhammad Faiz Na’aman ekoran menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

“Saya nak ingatkan Faiz Naaman, bahawa kalau tidak kerana sokongan pimpinan UMNO, tidak merasalah Bersatu menjadi Perdana Menteri,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengetepikan sejarah lampau mereka dengan Tan Sri Mahiaddin, demi untuk menyelamatkan rakyat negara ini daripada kerakusan PH-Dap kembali memerintah.

“Faiz jangan lupa, Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Najib jugalah banyak memberi idea pembaikan terhadap Belanjawan 2021 yang lepas yang menekankan isu keperluan rakyat seperti pengeluaran caruman KWSP dan lanjutan moratorium. Mereka berdua jugalah yang berusaha sebaik supaya Belanjawan tersebut dapat diluluskan semasa proses undian di Parlimen.

“Faiz juga jangan buat-buat lupa bahawa Bersatu juga dulu pernah bersama-sama Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim yang menekan rakyat selama 22 bulan. Menggunakan pertuduhan pelik-pelik dan sengaja direka-reka untuk menyekat saingan politik UMNO semasa era Tun Mahathir menjadi PM.

“Kita ingatkan Tan Sri Mahiaddin ini jenis yang mengenang budi, rupa-rupanya sama sahaja aturan strategi dengan meneruskan pendakwaan politik amalan Mahathir. Tindakan menggunakan LHDN dengan amaun tidak munasabah dan menarik peruntukan kepada Ahli Parlimen merupakan tindakan kerajaan yang penakut.

Bidas beliau lagi, perlu diingat, rakyat sedang memerhati cara kerajaan PN ini ditadbir dan rakyat telah sedar, seolah-olah Darurat digunakan semata-mata untuk mengekalkan kuasa dan menghalalkan perbelanjaan tanpa sebarang sekatan.

“Jadi soalan saya kepada si Faiz, siapa sebenarnya binatang politik ini? Kalau pemimpin Bersatu ini boleh melabelkan ‘Kluster Mahkamah’ kepada pemimpin UMNO, tidak keterlaluan saya katakan kepada pemimpin Bersatu dengan gelaran ‘Kluster Darurat’ inilah merupakan opportunist politik yang menjuruskan kepada trending ‘Kerajaan yang Gagal’,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.